DISEMBER 2023

Sarawak, UAE Adakan Mesyuarat Kerjasama Strategik Bangunkan Sektor Tenaga


DUBAI: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai delegasi dari Sarawak mengadakan mesyuarat penting dengan syarikat pelaburan Mubadala di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Landasan Pelaburan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan ahli jawatankuasa pelaburan Syarikat Pelaburan Mubadala, Dr Bakheel Al Katheeri, CEO Syarikat Pelaburan Mubadala, Shiekh Mansorr Al Hamed dan Duta Besar UAE di Malaysia, Dr Mubarak Saeed Al Dhaheri adalah antara yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat berprofil tinggi itu berkisar kepada jaringan kerjasama strategik bagi mendedahkan usaha Sarawak yang fokus kepada pembangunan hiliran, pertengahan dan huluan industri minyak dan gas dan sektor perindustrian. 

Di samping itu, mesyuarat berkenaan juga berbincang secara terperinci mengenai projek karbon Sarawak di bawah Perkara 6 Perjanjian Paris, yang mengutamakan komitmen Sarawak mengamal kelestarian.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki turut menghadiri mesyuarat itu bagi menandakan usaha kolaborasi bagi mengeratkan jaringan kerjasama dalam membangunkan sektor tenaga.

GAMBAR:TVS

Sumber dari : Jiwa Bakti